nuffnang

Monday 11 June 2012

Saringan HIV untuk Bakal Pengantin

APA ITU HIV
 
Apa itu HIV (Human Immunodeficiency Virus) ?
HIV adalah virus yang memusnahkan sistem ketahanan badan seseorang dan menyebabkan AIDS. Terdapat 2 jenis virus HIV iaitu HIV-1 dan HIV-2. HIV-1 merupakan jangkitan yang sangat berbahaya kepada orang ramai manakala HIV-2 pula tidak begitu berbahaya. HIV menyerang Sistem daya tahan badan, menyebabkan badan lemah dan tidak berupaya melawan jangkitan penyakit. Jika seseorang disahkan dijangkiti HIV, orang itu dipanggil positif HIV tetapi tidak semestinya dia menghadapi AIDS kerana AIDS adalah peringkat terakhir jangkitan HIV.


APA ITU AIDS
 
Apa itu AIDS (Acquired Immune Deficiency Syndrome -Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit)?

AIDS bukanlah satu penyakit yang tersendiri. AIDS merujuk kepada kumpulan penyakit-penyakit yang dihidapi oleh orang-orang yang positif HIV. Dengan lumpuhnya keupayaan tubuh, mereka yang dijangkiti HIV lebih mudah terdedah kepada pelbagai jenis kuman termasuklah yang tidak membahayakan manusia normal. Di antara penyakit-penyakit ini termasuklah jangkitan-jangkitan oportunistik (iaitu yang mengambil kesempatan) seperti radang paru-paru, batuk kering, thrush (selaput putih pada lidah dan dalam mulut), beberapa jenis barah dan beberapa jenis penyakit kulit seperti kayap.



Bagaimanakah Seseorang boleh dijangkiti HIV?
  • Melalui perhubungan seks tidak selamat dengan mereka yang positif HIV.
  • Hubungan seks anal, oral(mulut), dubur, faraj tanpa perlindungan dengan pasangan yang dijangkiti.
  • Hubungan seks di mana air mazi, air mani atau darah daripada mereka yang dijangkiti masuk ke dalam badan orang lain.
  • Hubungan seks tanpa menggunakan kondom lateks jika pasangan positif HIV.
  • Perlakuan seks seperti bersentuhan atau melancap dimana kedua-dua pihak mempunyai luka atau ruam pada kulit mereka dimana salah seorang adalah positif HIV.
  • Melakukan hubungan seks tidak selamat dengan pelacur atau pondan atau berbilang pasangan yang tidak diketahui status kesihatan mereka (berisiko).
  • Melalui perkongsian jarum atau bahan-bahan suntikan dengan orang yang dijangkiti.
  • Mempunyai pasangan yang mengambil dadah (berisiko).
  • Dari ibu ke anak semasa kehamilan, kelahiran atau menyusu badan jika si ibu adalah positif HIV.






Tujuan Saringan HIV Dijalankan Kepada Bakal-bakal Pengantin
  • Mengesan lebih awal jangkitan HIV supaya pencegahan dan rawatan dapat diberikan
  • Mencegah Penyebaran jangkitan HIV kepada Pasangan dan seterusnya kepada zuriat

Fakta
  • HIV adalah virus penyebab AIDS
  • AIDS tidak dapat disembuhkan tetapi boleh dirawat dan dicegah
  • HIV/AIDS adalah salah satu penyakit kelamin


Prosedur Menjalani Ujian Saringan HIV( Rapid Test)
  • Buat permohonan di pejabat agama berdekatan di jajahan masing-masing
  • Bakal pengantin akan dibekalkan dengan borang Pemeriksaan Kesihatan (HIV)
  • Borang yang lengkap diisi dibawa oleh bakal pengantin ke klinik kesihatan yang ditetapkan untuk saringan HIV
  • Saringan dilakukan oleh anggota kesihatan
  • Ujian dilakukan dengan hanya mengambil setitis darah
  • Keputusan diperoleh dalam masa 15-30 minit
  • Keputusan pemeriksaan adalah SULIT


Keputusan Ujian Saringan HIV Bakal Pengantin 
Negatif
  • Anda mungkinn tidak dijangkiti HIV semasa ujian
  • Jika anda dari golongan tidak berisiko, anda bebas dari jangkitan HIV
  • Tetapi jika anda dari golongan berisiko (seperti penangih dadah secara suntikan atau mengamalkan seks rambang), anda mungkin diperingkat awal jangkitan dan perlu ulangi ujian selepas 6 bulan.
Positif
  • Anda mungkin telah dijangkiti HIV
  • Oleh itu anda akan dirujuk ke klinik kesihatan untuk ujian pengesahan dan khidmat kaunseling


JIKA SALAH SEORANG ATAU KEDUA-DUANYA ADALAH POSITIF HIV DAN INGIN MENERUSKAN PERKAHWINAN.

 1. Anda perlu mendapat khidmat nasihat daripada klinik kesihatan atau hospital kerajaan
2. Mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti berikut :
  • memakai kondom semasa melakukan hubungan seks
  • memakai sarung tangan getah semasa mengendalikan luka, kudis, najis, darah, atau apa2 cecair badan
  • tidak berkongsi berus gigi dan alatan tajam (pisau cukur, pemotong kuku, sikat)
  • Asingkan dan rendamkan pakain tercemar dengan darah dari lelehan cecair badan dengan larutan peluntur (contohnya clorox) selama 20minit sebelum dicuci dan dipakai semula
  • Lantai yang dicemari darah, nanah atau lelehan cecair badan dicuci atau dimop dengan larutan peluntur dan dibilas dengan air biasa.
3. Anda tidak digalakkan mengandung
Sekiranya mengandung sila dapatkan khidmat nasihat dimana-mana klinikkesihatan atau hospital kerajaan yang berdekatan dengan segera untuk maklumat lanjut kerana rawatan awal dapat mengurangkan risiko jangkitan kepada janin.




"Hindari jangkitan HIV, Hargailah kehidupan serta sayangilah diri dan pasangan hidup anda"